
[] Salimul ‘Aqidah – Aqidah yang Benar
Aqidah adalah tiang yang paling penting dalam Islam. Aqidah yang benar adalah penentu samada seseorang Insan itu layak melangkah ke Syurga atau tidak. Firman Allah S.W.T. dalam alQur’an yang bermaksud, “Tiada Deen yang diredhai Allah melainkan Islam”. Aqidah terbahagi kepada 3 yakni Ilahiyah, Rubbubiyah dan Asmaul Sifat. Dari perspektif pengalaman saya sendiri, saya lihat kebanyakan Saudara Baru lebih menghayati Islam daripada kebanyakan Muslim yang sejak lahir. Saya berpendapat, hal ini terjadi kerana sebelum mereka kembali ke Jalan Fitrah (baca: Islam), mereka mengkaji Deen ini dgn teliti. Maka benarlah apa yang dikatakan bahawa Iman bukanlah cita-cita mahupun warisan.
"Iman bukanlah cita-cita mahupun angan-angan. Namun, Iman adalah apa yang tersemat di dalam jiwa dan dilahirkan melalui Amal”
[] Qawiyul Jismi – Fizikal yang Kuat
Fizikal atau tubuh badan amat dituntut dalam Islam. Mukmin yang kuat lebih dicintai Allah daripada Mukmin yang Lemah. Hal ini menunjukkan bahawa Umat Islam yang kuat amat disukai Allah. Selain itu, ia turut membuktikan bahawa penting tubuh badan yang sihat dan kuat dalam proses Dakwah dan Tarbiyah. Kita sebagai seorang Muslim seharusnya tidak memandang enteng hal ehwal kesihatan dan kebersihan. Selain ia memainkan peranan penting dalam menjalankan usaha-usaha Dakwah, ia turut mencerminkan akhlak dan karekteristik seseorang individu Muslim. Saya teringat sewaktu mula-mula saya membuat keputusan untuk terlibat dalam Rugbi. Perkara pertama yang terbayang-bayang dalam minda saya adalah kekasaran rugbi. Bukannya senang nak ambil rugbi. Hati rasa gerund semacam sahaja. Namun, saya pun berserahlah pada Allah. Apa nak jadi pun jadilah. Namun, Alhamdulillah, selepas 2-3 minggu, Alhamdulillah, Rugbi tidaklah seteruk yang saya gambarkan, malahan, saya semakin minat Rugbi pula. Wallahu'alam.
[] Sahihul Ibadah – Ibadah yang Benar
Ibadah kita perlulah mengikut syara'. Tidak terlalu kurang namun pada masa yang sama tidak berlebih-lebihan yakni mengikut Qu’ran dan Sunnah disamping menilai ijtima’ Ulama’-Ulama’ yang Muktabar. Sewajarnya kita sebagai Muslim menjadikan Syara’ sebagai kayu ukur dalam urusan seharian. As-Shafiee sendiri pernah menyatakan “Perumpamaan orang yang menuntut ilmu tanpa dalil adalah seperti pengumpul kayu api di waktu malam. Dia membawa kayu api yang terdapat seekor bersamanya. Lalu ular tersebut mematuknya tanpa dia sedari. Justeru, seharusnya kita beribadah mengikut cara-cara yang sahih yang berpandukan Qur’an dan Sunnah dan disepakati Ijtima’ para Ulama’ Muktabar. Beribadahlah dengan keyakinan dan tanpa was-was kerana ia boleh sedikit sebanyak mengganggu perjalanan ibadah kita.
[] Matinul Khuluq – Akhlak yang Unggul
Akhlak yang Unggul merupakan asset penting dalam seseorang Muslim. Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud, “Mukmin yang paling sempurna adalah Mukmin yang paling baik akhlaknya”. Rasulullah S.A.W. telah memberi petunjuk kepada kita bahawa pentingnya berakhlak mahmudah. Malah, perutusan Rasulullah S.A.W. adalah untuk melengkapkan akhlak yang mulia. Justeru, perlulah kita sebagai insan biasa untuk berusaha sedaya mungkin dalam hemah dan etika kerana Imej kita sebagai Muslim mencerminkan perspektif manusia terhadap Deen kita sendiri. Tidak perlu saya panjangkan perbicaraan saya ini dengan mengupas realiti yang berlaku dalam kalangan masyarakat hari ini kerana saya tahu semua sudah sedia maklum tentangnya. Bahkan saya pasti, kebejatan moral yang berlaku pada hari ini sudah amat familiar atau sinonim dengan kita. Cuma persoalannya di sini, apa tindakan kita ke atasnya dan sejauh mana kita peduli terhadap apa yang berlaku. Muslim bukanlah setakat TAHU, namun sebaiknya hendaklah MAHU untuk berAMAL berdasarkan apa yang diketahuinya. Syeikh Yusuf alQaradhawi tamsilannya, pernah menyatakan, “Barangsiapa yang mahu melihat masa depan sesebuah Negara, maka perlulah ia lihat remajanya pada hari ini”. Kenyataan ini membuktikan Akhlak yang Unggul adalah aset berharga yang perlu dipupuk sejak dari kecil.
[] Mutsafaqul Fikri – Pemikiran yang Luas
Sebagai seorang Muslim, seharusnya kita berusaha membuka seluas-luasnya mentaliti dan pemikiran kita. Kita sudah terlalu sedia maklum tentang kewajiban menuntut ilmu namun hakikatnya sejauh mana kita merebut peluang ilmu yang ada. Budaya Iqra’ bagaikan terlalu asing dengan masyarakat kita. Kita seharusnya akrab dengan ILMU kerana Komuniti Intelek adalah tunjung daulah yang bertamadun. Hidup kita mestilah mempunyai visi dan prinsip-prinsip yang berlandaskan Islam. Bidang keilmuan sepatutnya menjadi teman akrab dalam hidup seseorang Muslim. Andaikata kita meneliti sejarah ketamadunan Islam pada Zaman Abbasiyah, kita dapat lihat Muslim tatkala zaman itu amat memelihara dan menghargai Ilmu. Bahkan, kemodenan Eropah hari ini merupakan hasil dari kemajuan Islam dalam bidang keilmuan itu sendiri. Imam asShafiee pernah sekali menyatakan, “Barangsiapa yang mahukan dunia, maka perlulah dia berilmu. Barangsiapa yang Mahukan akhirat maka perlulah dia berilmu. Barangsiapa mahukan kedua-duanya sekali maka perlulah dia berilmu”. Saya teringat sewaktu mula-mula saya datang untuk masuk ke Tingkatan 1 di Ma’had atTarbiyah al-Islamiyah (Matri), Perlis, Ayah saya membekalkan satu beg penuh dengan buku-buka fikrah dan agama. Katanya nanti dekat Matri saya akan berebut buku lantaran kekurangan buku. Benar apa yang dikatakan oleh Ayah, cepat sekali sesuatu buku fikrah yang menarik direbut oleh pelajar-pelajar Matri. Kalau hendak meminjam, kadangkala kita harus menunggu sehingga 10-15 orang. Sungguh hebat aura budaya Iqra jika dilihat. Di situlah tumbuh minat saya untuk membaca buku-buku Ilmiah (yang hakikatnya amat terhad berbanding dengan buku-buku tahyul, hiburan dan hedonistik).
[] Munadzam fi Syu’unihi – Urusan yang Tersusun
Urusan hidup yang sistematik dan tersusun adalah antara ciri-ciri insan yang ingin dilahirkan dalam proses Dakwah dan Tarbiyah. Hal ini kerana, antara kunci-kunci kejayaan adalah pengurusan atau perancangan yang sistematik. Saidina Ali r.a. sendiri pernah menyatakan, “Kebaikan yang tidak tersusun boleh dikalahkan oleh kebatilan yang tersusun”. Tersusunnya pengurusan hidup melambangkan elemen-elemen dalam seorang pendakwah yang profesional dan terhormat. asSyahid Imam Hasan alBanna sendiri sentiasa mengingati pengikut-pengikutnya untuk sentiasa menyediakan pen dan kertas setiap masa (sebagai imej profesionalime dan kesediaan diri). Seorang da’ie sewajarnya sentiasa bersedia dan saling mentafsirkan fenomena yang berlaku di sekelilingnya mengikut garis panduan Islam. Pengalaman saya berada di United Kingdom, pengurusan rata-rata rakyat Britain amat sistematik dan tersusun. Perancangan yang relevan dan teliti amat diambil kira dan diberi perhatian serius oleh pihak tertinggi. Kurangnya budaya Birokrasi mencerminkan Negara yang Moden dan stabil. Justeru, marilah kita sama-sama memupuk sikap sistematik dalam kalangan masyarakat kita.
[] Haritsun ‘ala Waqtihi - Waktu yang Terjaga
Orang Mukmin yang dicintai Allah S.W.T. amat terjaga pengurusan waktunya. Hal ini kerana Masa adalah perkara yang amat berharga. Hasan alBanna pernah sekali memperumpamakan Waktu bagaikan Nyawa. Kita semua sudah sedia maklum akan firman Allah S.W.T. dalam surah al-Asr. Namun, seperti yang saya katakana sebelum ini, persoalan yang sebenarnya yang harus dipetengahkan ialah sejauh mana tindak-tanduk kita terhadapnya. Oleh itu, saya menyeru saudara semua untuk sama-sama kita mengeksploitasi masa yang ada semaksima mungkin dengan beramal kepada Allah S.W.T. "Telah bersabda Rasulullah saw: "Ada dua nikmat yang membuat banyak orang tertipu, iaitu waktu sihat dan waktu lapang," – (Hadis riwayat Bukhari, Tirmizi dan Ibnu Majah).
[] Nafi’un li Ghairihi – Bermanfaat bagi orang Lain
Berbicara tentang bermanfaat kepada orang lain, saya amat tersentuh dengan prinsip yang dipegang Ustaz Hasrizal, yakni Dakwah bukanlah sahaja memberiTAHU namun ia juga ingin memberiMAHU kerana TAHU adalah soal akal dan hakikatnya hati melibatkan MAHU. Justeru, kita bukan sahaja perlu seibuk bercakap memberitahu yakni ceramah sana, ceramah sini, namun perlu juga dineutralisasikan dengan Amal yakni dengan turun padang dalam kebajikan kerana bak kata pujangga Inggeris, “Action speaks louder than words”. Oleh itu, saya secara personalnya menyeru sahabat-sahabat sekalian untuk sama-sama turun padang memeriahkan usaha Dakwah dan Tarbiyah dan sesungguhnya Amal laksana makanan kepada Iman. Dengan beramal, insyaAllah Iman kita akan segar-bugar.
[] Qadirun ‘ala Kasbi - Berdikari
Sebagai seorang Muslim, seharusnya kita berdikari dalam hidup kita. Sebaiknya kurangkanlah bergantung kepada orang lain. Hal ini memainkan peranan penting dalam kehidupan kita kerana sedikir sebanyak ia mengajar erti kesusahan kepada kita. Hal ini sebagai motivasi dan anjakan paradigma kepada kita dalam mengurus kehidupan ke arah kehidupan yang lebih produktif dan lebih baik. Rasulullah S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud “Jikalau di tangan kananmu mempunyai benih dan namun kamu tahu bahwa keesokan harinya akan kiamat maka tanamlah biji benih itu”. Hal ini sejajar dengan prinsip berkerja yang produktif yakni beramal dan berkerja sebaik mungkin. Justeru, saya di sini menyeru diri saya dan sahabat-sahabat sekalian untuk berkerja dan berdikari sebaik mungkin. Moga-moga Allah memberkati usaha kita insyaAllah.
[] Mujahidun Linafsihi – Berjihad Melawan Nafsu
Sebenarnya hawa nafsu itu kurniaan daripada Allah, dan sesungguhnya sekiranya dinamakan kurniaan daripada Allah semestinya ia adalah sebahagian daripada nikmat Allah, bukan? Namun kita perlu mengemudi nafsu dalam jiwa kita berlandas syariat Islam. Berjihad yang paling besar adalah jihad melawan nafsu. Nafsu adalah keperluan namun jangan sesekali dibiarkan ia bermaharajalela dalam jalbu manusia. Hari yang Sakit mudah sekali diperhambakan oleh Nafsu. Justeru, kalbu yang sakit perlulah diberi ubat. Sesungguhnya, ubat kepada Jiwa yang sakit adalah... . Oleh itu, sama-samalah kita muhasabah kembali, bersama menilai dah berfikir sejauh mana prestasi amal kita dan sama-sama memperbaiki dan meningkatkannya demi kebaikan kita bersama.


3 Response to :: 10 Musawafat Tarbiyah ::
Assalamualaikum wbt
Blog yang bagus. Teruskan menulis.
Assalamualaikum..Penulisan sudara amat tepat pada masanya.Lepas ini kenalah banyak MEMBERI lagi!!
subhanallah...inspiring!
Post a Comment