"Dup! Dup!", bunyi hentak kaki sewaktu aktiviti kawad kaki Kem Minda Kreatif 11, yang bertempat di Desasiswa Saujana, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Alhamdulillah, seramai 264 orang peserta dengan penuh ketekunan melalui program emas ini sepanjang 3 hari program tersebut dijalankan. Dengan kehadiran barisan fasilitator dari pelbagai IPT yang profesional dan berkaliber, syukur pada Allah, program anjuran HALUAN Malaysia ini memberi kesedaran yang amat mendalam bahkan syahdu dalam kalangan peserta - at least, saya sendiri. Memang, program ini menempelak saya yang mungkin penuh dengan input, tapi praktikalitinya atau output kurang, - kurang sangat. Sejujurnya, program ini mencubit saya akan sambil lewanya saya terhadap kefahaman tarbiyah yang sebenar, selepas melihat kegigihan pelajar sekolah lain, meski baharu sahaja di pinggiran tarbiyah, dengan gigih menuntutnya sedangkan diri ini yang disemai di lubuk tarbiyah ini pun, suburnya berlubang-lubang dimakan ulat nafsu atas godaan syaitan. Oh, adakah ini satu tamparan atau cubitan?
Masih lagi saya ingat, di malam pertama program, seorang abang membicarakan tentang Tarbiyah Dzatiyah. Beliau duduk dengan dibarai ruhul jadid, menyala-nyala memberikan nasihat dan petah melontar pengalaman di IPTnya dengan penuh rasa tawadhu', sedang diri ini hanya bersila di lantai - dihimpit rasa sesal tapi penuh keazaman akan merubah diri. Bertubi-tubi garang pelajar-pelajar SMK Bkt. Jambul memberi pendapat - walau baru sahaja merasa manisnya tarbiyah, namun ketekunan mereka menyuntik rasa kagum dan semangat kepada kami untuk bersama-sama terus istiqomah dalam sirat (jalan) ini - mendapat fikruttaqwa dengan biah solehah yang membina, murabbi mithali yang tawadhu' serta manhaj rabbani sebagai pakej lengkap proses takwini (pembinaan peribadi) yang tiada titik noktahnya. Hai diri! Alam Menara Gading nun di hujung sana, kian lama kian menghampir - sudahkah aku bersedia? Apa yang lebih menggusarkan - MATI yang menjadi pendamping setia setiap diri.
Sebarang kelemahan - ya, memang tembok, tetapi diri ini wajib belajar bagaimana untuk mendaki tembok tersebut kerana diri tetap akan terus mendepani realiti yang kian mengbengkak angkara kelemahan pemikiran masyarakat kita dan kita sendiri.
Baginda S.A.W. sendiri pernah bersabda:
بداء الإسلام غريبا فسيعود غريبا كما بداء فطوبى للغرباء
Maksudnya:
"Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing) , dan ia akan kembali dagang sebagaimana ia datang; maka beruntunglah orang-orang yang dagang."
( H.R. Muslim)
Subhanallah! Adakah kita tergolong dalam golongan ghuraba' itu?
Tepuk dada tanya iman.
Wallahu'alam.
_______________________________________________________
Terima kasih diucapkan kepada HALUAN Malaysia dan Kelab Rakan HALUAN (KeARAH) selaku penganjur program dan kepada abang-abang fasilitator yang tidak jemu melayan karenah adik-adik dan ibubapa yang sudi menghantar diri yang berkarat ini untuk ke sana. - LittleCALIPH


No Response to "KMK11, USM | Kepimpinan Penjana Kecemerlangan"
Post a Comment