
Semua manusia pasti ada kisah hidupnya yang tersendiri. Pastinya, kisah hidup setiap manusia tentulah berbeza. Kisah hidup si A berbeza dengan cerita si B. Sepanjang 17 tahun saya hidup, saya sudah tahu ramai orang. Semua orang punya versi riwayat nan berbeza. Namun, sebenarnya, andaikata kita meneliti kisah-kisah mereka, dari sudut zahir dan hikmahnya, masyaAllah, semua kisah pasti menarik. Saya sendiri suka mendengar. Dari muda-muda yang bercerita, hinggalah ke tua-tua yang berseleroh, pasti ada sahaja cerita yang akan menarik jiwa kita. Entahlah, saya sendiri hairan, sewaktu di MATRI dahulu, ada sahaja yang hendak berjumpa saya. Hendak bersembang katanya. Bayangkan, di sekolah, rakan taulan masing-masing punya cerita, pulang ke rumah, ibu bapa kaum kerabat pula berbicara, belum kira lagi andai kita berziarah ke rumah orang, pergi ke tempat kerja, berjalan melancong, kenduri kendara dan sebagainya – hidup kita penuh dengan cerita-cerita. Hakikatnya, cerita-cerita inilah berus yang mewarnai hidup kita agar tidak statik dan kaku. Tanpa cerita-cerita ini, hidup ini terasa hambar.
Di sebalik 1 kisah, sebenarnya terselindung 1001 potret kehidupan. Setiap potret itu penuh dengan warna-warni iktibar dan pengalaman. Di situlah tersembunyi hidden wisdom - hikmah dan kebijaksanaan yang tidak dijumpai di lambakan buku-buku ilmiah dan akademik. Hidden wisdom inilah kehidupan. Ada beberapa individu yang berpengaruh dalam hidup saya yang tidak lekang dengan cerita mereka. Dan figur-figur ini orangnya hebat-hebat belaka. Antaranya ialah ayah saya sendiri, Cikgu Azmi, Ustaz Muhtad, Sir Nasir, Ummi Halimahton, Uncle Haither, Abang Ali Irfan, Abang Amru Irfan, abang-abang MATRI iaitu Abang Mad Abang Hilal Asyraf, Abang Sahel, Abang Ikrimah Husni, Abang Ammar Ismail dan Abang Muhaimin Misran dan sahabat-sahabat di MATRI, akhi Mukhlis Nasri, akhi Ahmad Azhar, akhi Salman dan tidak lupa juga akhi Abdur Rahiim. Banyak pengajaran saya dapat daripada mereka. Apabila mereka berbicara, di situlah saya mengenal tinggi rendah langit, pahit manis kehidupan.
Cerita-cerita mereka sebenarnya ada keistimewaannya yang tersendiri. Berbeza dengan kebanyakan sahabat handai yang lain yang banyaknya on common basis, cerita mereka yang sebutkan tadi mengandungi seinfiniti moral yang patut diambil pengajaran. Al-Qur’an dan al-Hadith adalah akar cerita-cerita mereka, justeru rugi benarlah jika dipandang enteng. Itulah resepi yang menjadikan kalam bicara mereka menarik bukan sahaja hati saya, malah puluhan sahabat saya yang lain.
Sebenarnya, sewaktu SPM berlangsung, RMC Training Centre, sebuah firma motivasi, latihan dan perundingan di bawah kelolaan Cikgu Azmi dan Cikgu Din yang pantas mengukir nama di negeri Perlis telah menganjurkan Kursus Intensif Bahasa Arab (KIBAR) yang bertempat di MATRI khusus untuk lepasan UPSR mempelajari asas-asas Bahasa Arab sebelum memasuki alam persekolahan menengah, lazimnya MATRI. Melalui kursus ini saya kenal banyak adik-adik, antarayang paling menonjol ialah Irfan, Kubaib, Najmuddin, Faris, Hazwan, Asnawi, Hafizzuddin, Afdhol, Helmi dan Azim. Setiap kali bertemu, ada sahaja cerita yang mereka mahu kongsikan. Walaupun baharu dua tiga hari berkenalan, kami mesra seakan-akan sudah bertahun. Malah, dalam kalangan puluhan abang-abang MATRI yang mengambil SPM di MATRI, saya menjadi abang yang paling rapat dengan mereka. Tidak berjumpa sekejap, ada yang meluahkan rasa rindu, padahal saya bukanlah fasilitator KIBAR. Hanya kebetulan, Allah izin MATRI ialah tempat penginapan peserta KIBAR. Apa yang saya hendak tunjukkan di sini, setiap insan walaupun secilik adik-adik lepasan UPSR, ada sahaja cerita mereka. Apatah lagi pak cik dan mak cik veteran yang sudah puluhan tahun hidup. Tentulah banyak kisah hidup yang berjela-jela panjangnya yang molek dikongsi.
Berbalik kepada kisah adik-adik KIBAR tadi, saya juga hampir setiap malam menemani mereka di dormitori mereka. Malah, siap berebut lagi mereka nak membawa saya ke dormitori masing-masing. Almaklumlah, semua hendak bercerita sebelum tidur. Cerita pula macam-macam. Ada dengan kisah lucunya, ada yang dengan cerita seramnya, sehinggakan setiap malam pasti tidak bosan melayan kerenah mereka. Setiap pasti ada cerita yang berbeza.
Namun, malang sekali, pada era ledakan teknologi di pinggiran globalisasi ini – interaksi dan proses sosial sudah luntur. Kita dihambat dengan enigma jangan jaga tepi kain orang. Akhirnya kita hidup serba individualistik. Makan minum, sihat sakit jiran sebelah, entah kita tidak pedulikan. Semua sibuk dan hanyut di alam sendiri. Tidak perlu pandang jauh, kita yang berbicara ini pun tidak jauh seperti itu. Ruh kejiranan, atau communal spirit seperti yang disebut Muthrasan, penulis politik tanahair kini kian sirna dek hidup yang dibelenggu antisosialisme atau seperti apa yang dikritik Ustaz Hasrizal sebagai akutidakpedulisme. Kita patut sedih melihat anak-anak muda kita, yang patut saya gelar sebagai rakan sebaya tidak tahu bergaul dengan orang lama (sahaja saya tidak mahu sebut orang tua). Padahal merekalah aset kepimpinan masa hadapan. Akhirnya, apabila mereka memegang singgahsana pemerintahan nanti, pasti kekok dan janggal dan akhirnya mengulang kesilapan dan dosa yang lama seperti pemimpin-pemimpin terdahulu, lantaran kurang interaksi dan pemindahan pengalaman antara generasi lama dan baharu. Akhirnya, mereka terpaksa mula semula, bukan menyambung perjuangan generasi terdahulu seperti yang sepatutnya.
Entahlah.
Sama ada teknologi yang ada lebih cerita, atau sikap si tua yang tidak mahu bercerita, atau si muda sendiri yang tidak mahu mendengar cerita?


No Response to "Bila Sahaja Mulut Terbuka"
Post a Comment