Monday, December 22, 2008

Foundation of KHIDMAH'08

0
"Their heart are touched by yours," duga seorang pemerhati KHIDMAH'08 dari Indonesia.
Benar, KHIDMAH'08 ialah satu program cukup meninggalkan kesan mendalam ke lubuk hati, baik dalam kalangan penduduk kampung, peserta mahupun urusetia.



"Akhi, six days are not enough!" jawab saya.



Sejuk hati ini memerhati anak-anak kariah Masjid Setar yang gigih menghadirkan diri dan jiwa untuk Kem Motivasi dan Slot Bimbingan Akademik walau terpaksa berjalan jauh. Kehadiran adik-adik ini jauh menjangkaui sasaran asal, sehingga terpaksa menambah tenaga fasilitator.

Walaupun, mereka bermalam di rumah masing-masing, namun kehadiran setiap kali program diadakan tetap penuh, malah bertambah!



Majlis perpisahan dengan adik-adik Kem Motivasi dan Bimbingan akademik, diakhiri dengan linangan air mata. Pertemuan dua hari untuk kem motivasi benar-benar tidak cukup. Ada adik-adik yang masih mencari saya dan teman-teman di masjid dua hari selepas kem berakhir, semata-mata hendak melihat wajah kami selain hendak akan nombor telefon. Ada juga yang tidak mahu makan selagi saya tidak makan bersamanya. Peserta pula bukan adik sekolah rendah sahaja, malah ada yang seawal usia lima tahun hinggalah penuntut di sekolah menengah tingkatan lima. Masing-masing tidak sanggup melepaskan kami.



Saya teringat kata-kata seorang penduduk kampung, "tu pi teman mak hampa tu, air mata tak abih lagi tu,"

merujuk beberapa kaum ibu yang sedang menyeka air mata, kesedihan semestinya.

Dua malam bersama keluarga memang tidak cukup.

Ada keluarga angkat yang tidak bersedia melepaskan kami para peserta.

Menurut satu sumber daripada pihak penganjur, penduduk kampung berebut hendakkan anak angkat.

Malah, ada yang tidak puas hati kerana tidak berjaya dapat anak angkat.

Pada saya, persaingan mereka, bukan sekadar saja-saja tetapi satu suara harapan.



Benarlah, cetusan bijak Ustaz Hasrizal, "manusia berhubung melalui perasaan". People don't care how much you know, until they know how much you care. Malangnya, dalam lambakan program-program bersama sasaran masyarakat sama ada kem motivasi mahupun seminar yang dikendalikan barisan fasilitator, perasaan manusia sering kali diketepikan. Kita lebih suka kepada kelasakan dan paksaan kepada akal dan fizikal, tapi mengabaikan hati. Kita juara dalam berbicara tentang ilmu dan fikrah, tapi kita lupa tentang hati yang menjadi pintu kepada ilmu dan fikrah tersebut.



Kita maklum benar tentang Abbas Al-Sissy di dalam kitabnya, Jalan Menuju Hati berkisar metodologi pendekatan Hasan al-Banna di dalam dakwah beliau.



Suatu ketika seorang lelaki datang ke pejabat Ikhwan al-Muslimin untuk mendaftar sebagai ahli. Jelas, tatkala Hasan al-Banna melihatnya, beliau nyata berkata, “Assalamualaikum ya Muhammad


Lelaki itu ternyata amat terkejut. Dia hairan bagaimanakah Hasan al-Banna tahu namanya. Kata Hasan al-Banna, “aku pernah mendengar rakanmu melaungkan namamu semasa kita di sebuah stesyen keretapi!”


Begitu sekali, Hasan al-Banna peka dan sensitif dalam memenangi hati manusia sekitar beliau.


Hal ini bukanlah skill yang dibuat-buat, tetapi datang dari jiwa yang meyakini bahawa manusia berhubung dengan perasaan, bukan pula dengan formaliti dan ilmu kepandaian. Apatah lagi hubungan paksaan.


Renungilah firman-Nya, yang bermaksud,

"Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), Engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah Engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila Engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya."

(Ali Imraan 3: 159)



Banyak benar kisah yang hendak dinukilkan berkisar KHIDMAH'08. Teruskan bersama littleCaliph.



Wallahu'alam

No Response to "Foundation of KHIDMAH'08"