Monday, December 29, 2008

Deepest Point

0

Memang lumrah, hidup umpama roda, kadangkala di atas, tidak terkecuali di bawah.

Jerkah si gila dalam filem Ayat-Ayat Cinta, "TUHAN sedang berbicara kepadamu tentang SABAR dan IKHLAS".

Saya tertunduk. Bicara Bijaksana si gila - mengajar saya tentang betapa saya ini hamba.

Kita lihat, betapa di Fahri, seorang pemuda beriman, kuat ibadahnya, kaya pula ilmunya, diuji fitnah zina. Kita perhati pula, peri si zaujah, gadis bertudung litup, berpurdah pula, bertaqwa juga, diuji dengan keraguan akan kesetiaan si suami.

Kita ini hamba.

Monday, December 22, 2008

Foundation of KHIDMAH'08

0
"Their heart are touched by yours," duga seorang pemerhati KHIDMAH'08 dari Indonesia.
Benar, KHIDMAH'08 ialah satu program cukup meninggalkan kesan mendalam ke lubuk hati, baik dalam kalangan penduduk kampung, peserta mahupun urusetia.



"Akhi, six days are not enough!" jawab saya.



Sejuk hati ini memerhati anak-anak kariah Masjid Setar yang gigih menghadirkan diri dan jiwa untuk Kem Motivasi dan Slot Bimbingan Akademik walau terpaksa berjalan jauh. Kehadiran adik-adik ini jauh menjangkaui sasaran asal, sehingga terpaksa menambah tenaga fasilitator.

Walaupun, mereka bermalam di rumah masing-masing, namun kehadiran setiap kali program diadakan tetap penuh, malah bertambah!



Majlis perpisahan dengan adik-adik Kem Motivasi dan Bimbingan akademik, diakhiri dengan linangan air mata. Pertemuan dua hari untuk kem motivasi benar-benar tidak cukup. Ada adik-adik yang masih mencari saya dan teman-teman di masjid dua hari selepas kem berakhir, semata-mata hendak melihat wajah kami selain hendak akan nombor telefon. Ada juga yang tidak mahu makan selagi saya tidak makan bersamanya. Peserta pula bukan adik sekolah rendah sahaja, malah ada yang seawal usia lima tahun hinggalah penuntut di sekolah menengah tingkatan lima. Masing-masing tidak sanggup melepaskan kami.



Saya teringat kata-kata seorang penduduk kampung, "tu pi teman mak hampa tu, air mata tak abih lagi tu,"

merujuk beberapa kaum ibu yang sedang menyeka air mata, kesedihan semestinya.

Dua malam bersama keluarga memang tidak cukup.

Ada keluarga angkat yang tidak bersedia melepaskan kami para peserta.

Menurut satu sumber daripada pihak penganjur, penduduk kampung berebut hendakkan anak angkat.

Malah, ada yang tidak puas hati kerana tidak berjaya dapat anak angkat.

Pada saya, persaingan mereka, bukan sekadar saja-saja tetapi satu suara harapan.



Benarlah, cetusan bijak Ustaz Hasrizal, "manusia berhubung melalui perasaan". People don't care how much you know, until they know how much you care. Malangnya, dalam lambakan program-program bersama sasaran masyarakat sama ada kem motivasi mahupun seminar yang dikendalikan barisan fasilitator, perasaan manusia sering kali diketepikan. Kita lebih suka kepada kelasakan dan paksaan kepada akal dan fizikal, tapi mengabaikan hati. Kita juara dalam berbicara tentang ilmu dan fikrah, tapi kita lupa tentang hati yang menjadi pintu kepada ilmu dan fikrah tersebut.



Kita maklum benar tentang Abbas Al-Sissy di dalam kitabnya, Jalan Menuju Hati berkisar metodologi pendekatan Hasan al-Banna di dalam dakwah beliau.



Suatu ketika seorang lelaki datang ke pejabat Ikhwan al-Muslimin untuk mendaftar sebagai ahli. Jelas, tatkala Hasan al-Banna melihatnya, beliau nyata berkata, “Assalamualaikum ya Muhammad


Lelaki itu ternyata amat terkejut. Dia hairan bagaimanakah Hasan al-Banna tahu namanya. Kata Hasan al-Banna, “aku pernah mendengar rakanmu melaungkan namamu semasa kita di sebuah stesyen keretapi!”


Begitu sekali, Hasan al-Banna peka dan sensitif dalam memenangi hati manusia sekitar beliau.


Hal ini bukanlah skill yang dibuat-buat, tetapi datang dari jiwa yang meyakini bahawa manusia berhubung dengan perasaan, bukan pula dengan formaliti dan ilmu kepandaian. Apatah lagi hubungan paksaan.


Renungilah firman-Nya, yang bermaksud,

"Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), Engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah Engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila Engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya."

(Ali Imraan 3: 159)



Banyak benar kisah yang hendak dinukilkan berkisar KHIDMAH'08. Teruskan bersama littleCaliph.



Wallahu'alam

Wednesday, December 10, 2008

Bila Sahaja Mulut Terbuka

0


Semua manusia pasti ada kisah hidupnya yang tersendiri. Pastinya, kisah hidup setiap manusia tentulah berbeza. Kisah hidup si A berbeza dengan cerita si B. Sepanjang 17 tahun saya hidup, saya sudah tahu ramai orang. Semua orang punya versi riwayat nan berbeza. Namun, sebenarnya, andaikata kita meneliti kisah-kisah mereka, dari sudut zahir dan hikmahnya, masyaAllah, semua kisah pasti menarik. Saya sendiri suka mendengar. Dari muda-muda yang bercerita, hinggalah ke tua-tua yang berseleroh, pasti ada sahaja cerita yang akan menarik jiwa kita. Entahlah, saya sendiri hairan, sewaktu di MATRI dahulu, ada sahaja yang hendak berjumpa saya. Hendak bersembang katanya. Bayangkan, di sekolah, rakan taulan masing-masing punya cerita, pulang ke rumah, ibu bapa kaum kerabat pula berbicara, belum kira lagi andai kita berziarah ke rumah orang, pergi ke tempat kerja, berjalan melancong, kenduri kendara dan sebagainya – hidup kita penuh dengan cerita-cerita. Hakikatnya, cerita-cerita inilah berus yang mewarnai hidup kita agar tidak statik dan kaku. Tanpa cerita-cerita ini, hidup ini terasa hambar.

Di sebalik 1 kisah, sebenarnya terselindung 1001 potret kehidupan. Setiap potret itu penuh dengan warna-warni iktibar dan pengalaman. Di situlah tersembunyi hidden wisdom - hikmah dan kebijaksanaan yang tidak dijumpai di lambakan buku-buku ilmiah dan akademik. Hidden wisdom inilah kehidupan. Ada beberapa individu yang berpengaruh dalam hidup saya yang tidak lekang dengan cerita mereka. Dan figur-figur ini orangnya hebat-hebat belaka. Antaranya ialah ayah saya sendiri, Cikgu Azmi, Ustaz Muhtad, Sir Nasir, Ummi Halimahton, Uncle Haither, Abang Ali Irfan, Abang Amru Irfan, abang-abang MATRI iaitu Abang Mad Abang Hilal Asyraf, Abang Sahel, Abang Ikrimah Husni, Abang Ammar Ismail dan Abang Muhaimin Misran dan sahabat-sahabat di MATRI, akhi Mukhlis Nasri, akhi Ahmad Azhar, akhi Salman dan tidak lupa juga akhi Abdur Rahiim. Banyak pengajaran saya dapat daripada mereka. Apabila mereka berbicara, di situlah saya mengenal tinggi rendah langit, pahit manis kehidupan.

Cerita-cerita mereka sebenarnya ada keistimewaannya yang tersendiri. Berbeza dengan kebanyakan sahabat handai yang lain yang banyaknya on common basis, cerita mereka yang sebutkan tadi mengandungi seinfiniti moral yang patut diambil pengajaran. Al-Qur’an dan al-Hadith adalah akar cerita-cerita mereka, justeru rugi benarlah jika dipandang enteng. Itulah resepi yang menjadikan kalam bicara mereka menarik bukan sahaja hati saya, malah puluhan sahabat saya yang lain.

Sebenarnya, sewaktu SPM berlangsung, RMC Training Centre, sebuah firma motivasi, latihan dan perundingan di bawah kelolaan Cikgu Azmi dan Cikgu Din yang pantas mengukir nama di negeri Perlis telah menganjurkan Kursus Intensif Bahasa Arab (KIBAR) yang bertempat di MATRI khusus untuk lepasan UPSR mempelajari asas-asas Bahasa Arab sebelum memasuki alam persekolahan menengah, lazimnya MATRI. Melalui kursus ini saya kenal banyak adik-adik, antarayang paling menonjol ialah Irfan, Kubaib, Najmuddin, Faris, Hazwan, Asnawi, Hafizzuddin, Afdhol, Helmi dan Azim. Setiap kali bertemu, ada sahaja cerita yang mereka mahu kongsikan. Walaupun baharu dua tiga hari berkenalan, kami mesra seakan-akan sudah bertahun. Malah, dalam kalangan puluhan abang-abang MATRI yang mengambil SPM di MATRI, saya menjadi abang yang paling rapat dengan mereka. Tidak berjumpa sekejap, ada yang meluahkan rasa rindu, padahal saya bukanlah fasilitator KIBAR. Hanya kebetulan, Allah izin MATRI ialah tempat penginapan peserta KIBAR. Apa yang saya hendak tunjukkan di sini, setiap insan walaupun secilik adik-adik lepasan UPSR, ada sahaja cerita mereka. Apatah lagi pak cik dan mak cik veteran yang sudah puluhan tahun hidup. Tentulah banyak kisah hidup yang berjela-jela panjangnya yang molek dikongsi.

Berbalik kepada kisah adik-adik KIBAR tadi, saya juga hampir setiap malam menemani mereka di dormitori mereka. Malah, siap berebut lagi mereka nak membawa saya ke dormitori masing-masing. Almaklumlah, semua hendak bercerita sebelum tidur. Cerita pula macam-macam. Ada dengan kisah lucunya, ada yang dengan cerita seramnya, sehinggakan setiap malam pasti tidak bosan melayan kerenah mereka. Setiap pasti ada cerita yang berbeza.

Namun, malang sekali, pada era ledakan teknologi di pinggiran globalisasi ini – interaksi dan proses sosial sudah luntur. Kita dihambat dengan enigma jangan jaga tepi kain orang. Akhirnya kita hidup serba individualistik. Makan minum, sihat sakit jiran sebelah, entah kita tidak pedulikan. Semua sibuk dan hanyut di alam sendiri. Tidak perlu pandang jauh, kita yang berbicara ini pun tidak jauh seperti itu. Ruh kejiranan, atau communal spirit seperti yang disebut Muthrasan, penulis politik tanahair kini kian sirna dek hidup yang dibelenggu antisosialisme atau seperti apa yang dikritik Ustaz Hasrizal sebagai akutidakpedulisme. Kita patut sedih melihat anak-anak muda kita, yang patut saya gelar sebagai rakan sebaya tidak tahu bergaul dengan orang lama (sahaja saya tidak mahu sebut orang tua). Padahal merekalah aset kepimpinan masa hadapan. Akhirnya, apabila mereka memegang singgahsana pemerintahan nanti, pasti kekok dan janggal dan akhirnya mengulang kesilapan dan dosa yang lama seperti pemimpin-pemimpin terdahulu, lantaran kurang interaksi dan pemindahan pengalaman antara generasi lama dan baharu. Akhirnya, mereka terpaksa mula semula, bukan menyambung perjuangan generasi terdahulu seperti yang sepatutnya.

Entahlah.

Sama ada teknologi yang ada lebih cerita, atau sikap si tua yang tidak mahu bercerita, atau si muda sendiri yang tidak mahu mendengar cerita?

Tuesday, December 09, 2008

Lembaran baharu

0
Pak Arbi ... sejenak bersama murabbi

Tarikh keramat 1 Disember sudah berlalu. Di sebalik angka satu itu, terlindung seribu makna. Ya, 1 Disember ialah tarikh tamat SPM saya. Bagi sesetengah orang tarikh tamatnya SPM ialah tarikh kemerdekaan.
Namun, pada pandangan saya, 1 Disember lambang bermulanya satu lagi lembaran hidup baharu saya. Bertambahlah lagi satu lagi halaman baharu dalam buku riwayat seorang insan bergelar Little Caliph. Saya yakin dan percaya perjalanan hidup ini tidak bernoktah di sini sahaja, dengan izin Allah.

Now, I'm back.

Sudah lama rasanya saya meninggalkan alam blog. Sekarang saya lebih lapang dan bersedia untuk berkecimpung semula di pentas blog.

Nantikan kehadirans semula LittleCaliph. Segar bugar dengan seinfiniti pengalaman dan cerita yang hendak dikongsi. Barakalahu fik. And only then, kismet determines.



InsyaAllah.