Tuesday, March 17, 2009

Mengenal Erti Secebis Kebajikan

0

"Pakcik tu buat kerja sia-sia je," seorang anak lelaki tertanya-tanya.
"Yalah, dari tadi asyik baling ketam ke laut aje, sampai bila nak habis?" getusnya. Mungkin keliru.

Dia tak mahu biarkan monolognya tak terjawab. Terus dia mendekati lelaki tua tersebut.

Lelaki tua itu dari tadi, kerjanya tak sudah-sudah. 
Bengkok badan, kutip ketam kemudian campak ke laut.
Lelaki tua, seolah-olah tidak jemu, mengulang-ulang perbuatannya beberapa kali.

Senja pantai itu diwarnai dengan catan oren merah disambut bayu petang.
Suasana damai itu sedikit pun tidak mencubit lelaki tua itu.
Mungkin terlalu asyik dengan tugas "mencampak ketam"nya itu.

Budak yang terkeliru tadi sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal menghampiri lelaki tersebut. 
Setelah merenung perbuatan lelaki itu beberapa ketika, budak itu sudah cukup kekuatan untuk bersuara.

"Pakcik, takkanlah pakcik nak campak semua ketam yang terdampar kat pantai ni balik ke laut?
Pantai ni panjang, ada beribu-ribu ketam lagi!" soalnya. Ingin tahu.

"Isyh ... manalah pakcik nak larat. Takat yang pakcik mampu buat ni, kira oklah tu," lembut pakcik itu melayan anak muda itu.

"Habis tu, apa sebenarnya yang pakcik buat ni?" anak muda itu mencipta persoalan.

Lelaki tua itu terdiam. 
Kemudian dia berdiri menegakkan batang tubuhnya yang tua itu seraya merenung horizan langit yang berwarna oren merah tadi. 
Rambutnya menari-nari ikut melodi bayu petang.

Setelah menghembuskan hela nafas panjang, dia melakar sebuah senyuman di potret wajahnya.

"Bagi kita, beribu-ribu ketam yang terdampar sepanjang pantai ini tiada nilainya. Tapi, bagi seekor ketam yang dicampak kembali ke laut, nilainya cukup besar," dia mengulas seringkas mungkin.

"Kenapa?"

"Kerana bagi ketam itu ia melibatkan soal hidup mati, bukan?"

 Jawapan itu ... mematikan perbualan. 

No Response to "Mengenal Erti Secebis Kebajikan"