Thursday, June 04, 2009

Menulis, Terus Menulis

4

Saya termanggu di bucu meja makan. Sambil tangan menggaru kepala, berpinar-pinar saya mendamba ilham untuk penulisan.

"Oh ... antalah penulis blog itu ya?" soal seorang insan.
"Pandai anta menulis, ya?" seorang adik cuba menarik perhatian.

Menulis.
Walaupun bersenjatakan alat semudah pen dan kertas, dan kini keyboard dan screen,
saya yakin tidak ada yang mampu menafikan impak penulisan terhadap dunia.

Tidak hairanlah ada yang beranggapan, "World are built by pen, ink and paper".

Benar, kerana penalah mengangkat Sayyid Qutb ke tali gantung.
Bertintakan air mata dan darah satria.
Meninggalkan lembaran Ma'alim fi Tariq dan Tafsir fi Zilali Qur'anyang cukup berharga.

Saya tertarik dengan satu kisah oleh Muhammad Ahmad ar-Rasyid yang mengantar kitab Musafir fi Qithorid Da'wah karangan Dr. Adil Abdullah al-Laili as-Suwaikh, yang menukilkan tentang kisah suka duka pentas penulisan mereka berdua.

Kita semua sedia maklum, Muhammad Ahmad ar-Rasyid serta sahabatnya, Dr. Adil Abdullah al-Laili as-Suwaikh ialah susuk tokoh penulisan yang berpedangkan pena, (sebagai mana kita berperisaikan keyboard), dan tidak asing di dunia penulisan fikrah.

Puluhan, bahkan ratusan kitab-kitab mereka mengisi rak-rak buku, sama ada di kedai buku ataupun di pustaka mini milik aktivis dakwah di seluruh dunia.

Diceritakan suatu hari, Dr. Adil Abdullah al-Laili as-Suwaikh menyatakan hasratnya kepada Muhammad Ahmad ar-Rasyid untuk berhenti menulis lalu menyatakan dalih beliau.
Muhammad Ahmad ar-Rasyid menemukan lebih banyak sebab untuk berhenti menulis, dan akhirnya mereka dihambat kejenuhan lalu berpakat untuk berdiam.

Sunyi di alam penulisan.
Namun, secara tidak semena-mena, Allah Yang Maha Bijaksana mengutus seorang pemuda untuk menyuluh mereka akan kesalahan mereka.

Saat itu Ahmad Ar-Rasyid sedang duduk di bandar raya Istanbul di sisi sahabatnya, Dr. Adil di kala menunggu pesawat.

Mereka baharu sahaja pulang dari satu seminar yang mendapat renspons nan dingin dan tidak bersemangat dari aktivis dakwah yang menghadirinya.

Mereka berdua berkira-kira untuk mengeluarkan kata-kata putus untuk berputus asa.
Lalu, dengan tidak semena-mena, tampil seorang pemuda mendatangi mereka berdua lalu menyoal,

"Adakah kamu Muhammad Ahmad ar-Rasyid?"
"Benar. Adakah kita pernah bertemu?" duga Ahmad ar-Rasyid.
"Tidak, saya mengenalmu melalui sebuah video yang menayangkan kamu sedang berpidato di sebuah konferens di Houston, Amerika," balas lelaki tersebut.

Muhammad Ahmad ar-Rasyid seraya bertanya,
"Kamu siapa?"
"Nama saya Khalid al-Musawi, warga Algeria, penghuni dataran lembah Souf, kira-kira seribu kilometer dari selatan ibu kota, di dataran tanah tinggi sahara Afrika, di perbatasan Tunisia.
Di sana kami membaca penulisanmu dan mendengar kaset-kasetmu bahkan pernah melihat pengajaranmu melalui video.
Saya telah ke Afghanistan untuk berjihad," ujarnya.

Lalu, mereka pun menyambut lelaki tersebut dan dia nampak begitu bahagia dengan pertemuan yang kebetulan ini.
Dia banyak bertanya kepada Muhammad Ahmad ar-Rasyid tentang pelbagai hal dan begitu juga saya.
Tiba-tiba, dia nampak gelisah.

"Tetapi, separuh lagi impian saya belum terlaksana. Saya belum berjumpa Dr. Adil sama sekali," gusarnya risau.

"Apa pendapat kamu kalau kamu singgah ke Dubai bersama saya untuk saya perkenalkan beliau."

"Tentu sahaja, bahkan hal itu umpama Hari Raya bagi saya kerana kami mendengar pengajaran-pengajar an beliau, namun belum pernah melihat wajahnya melalui video," jawab beliau.

Ketika inilah Dr. Adil rahimahullah turut serta mengujinya dan bertanya kepadanya tentang apa yang didengarnya dari kaset-kaset tanpa memperkenalkan dirinya sebagai Dr. Adil kepada lelaki tersebut.
Sayugia, pemuda ini menyebut beberapa judul pelajaran Dr. Adil.

Dr. Adil mengujinya lalu bertanya merujuk kepada salah satu pengajarannya, "Pada pelajaran itu, apa yang dikatakanya? "

Lelaki itu menjawab begini dan begitu, sambil meringkas kandungan pelajaran itu dengan baik.

Dr. Adil menguji lelaki itu lagi dan menanyakan perihal pelajaran-pelajaran yang lain.
Lelaki tersebut menjawab semua kandungan itu dengan baik seraya membuatkan mereka berdua kagum.

"Ya, inilah Dr. Adil, berada di hadapanmu yang mengujimu itu," ujar Dr. Adil memecah rahsia.
Seolah-olah terbang lelaki itu bahagia dan terpana dengan peristiwa itu.

"Di lembah Souf, kami semua melakukan kebiasaan ini; membaca, menghafal dan mendengar ulang,"

Kemudian, dari begnya, lelaki itu mengeluarkan kitab al-Muwafaqat nukilan Syathibi lalu berkata kepada Dr. Adil,

"Dalam sebuah kaset, saya mendengar kamu memuji kitab ini dan mewajibkan para da'ie membacanya. Lalu, saya membawanya agar menjadi teman di kala jihad."

Peristiwa ini menjadikan Dr. Adil kaget dan sangat yakin bahawa tentang wujud golongan yang disampaikan kepada mereka pelajaran yang lebih mengerti dalam kalangan yang mendengarkan pelajaran tersebut.

Lalu, Dr. Adil memilih untuk bertaubat daripada berputus-asa dan keengganan untuk berbicara seraya berkata,
"Kita berbicara sahaja kepada penduduk lembah rimba jika kita dihina penghuni kota."

Dan pada tahun-tahun terakhir itulah, Dr. Adil aktif berbicara.

Benarlah cetusan bijaksana Ustaz Hasrizal.
Dalam surah al-Qalaam, terkandung hikmah seinfiniti nilainya.


“Nuun. Demi Pena dan (demi) apa yang mereka tuliskan” [al-Qalam 68: 1]

Jangan sesekali kita lupa, tatkala Allah S.W.T. bersumpah dengan sesuatu di dalam al-Quran, konotasinya adalah pada kebesaran, kepentingan dan keutamaan yang ada pada subjek sumpah tersebut.

Pena serta segala sesuatu yang ditulis oleh pena, diungkap oleh Allah S.W.T. di dalam al-Quran dengan huruf wau al-qasam adalah untuk memahamkan kepada kita akan besarnya impak hasil pena, di langit dan bumi seluruhnya.
Pena bertindak mencatat ilmu pengetahuan silam, semasa dan selama-lamanya.
Justeru pena dan hasil kerja pena disumpah oleh Allah S.W.T. dengan menonjolkan kebesaran itu.

Ibn Jarir dan Ibn Abi Hatim meriwayatkan daripada Ibn Abbas, beliau berkata,"Perkara pertama yang diciptakan oleh Allah adalah al-qalam (pena). Allah berkata (kepada pena); 'Tulislah!'. Pena menjawab dengan berkata; 'Apakah yang aku perlu tulis?'. Allah menjawab; 'Tulislah ketentuan-Ku (al-Qadr)'. Lalu (di atas ketentuan itulah) berlangsungnya segala apa yang berlaku semenjak itu hinggalah berlakunya Qiamat. Lalu Allah menciptakan Nun, iaitu tinta".

Nah! Terlalu besar bukan hikmah di sebalik pena, tinta, dan penulisan?

Saya menyeru di sini, teruskanlah penulisan!

Saudaraku yang budiman,
Kita semua sedar, pena dan penulisan bukan lagi pena bulu ayam, atau kertas, tetapi berpindah kepada peralatan menulis secanggih komputer berkuasa tinggi, dan hasil tulisan di blog yang mencecah jutaan di seluruh dunia.
Apa sahaja yang ditulis dari sebuah bilik yang paling tersorok di hujung dunia, boleh dibaca di mana sahaja, tersebar luas tanpa sempadan.

Saudaraku yang budiman,
Dunia ini terlalu rosak untuk berundur setapak daripada satu lapangan dan beralih ke lapangan yang lain. Bukankah yang terbaik itu, kita teruskan lapangan yang ada lalu menambahkan lapangan yang lain?

Saya menyeru kepada LittleCaliph dan pembaca sekalian, teruskan menulis dan menulis di mana medium kita berkemampuan, menulis untuk memadam; menulis al-haq untuk memadam al-batil!

Metafora, diksi, personafikasi, semua khazanah di alam penulisan bukan untuk di atas lembaran sahaja, namun juga untuk dikongsi di alam maya!

Siapa kata dunia maya bukan alam untuk beramal?

LITTLE CALIPH @ little-caliph.blogspot.com
50603 Kuala Lumpur

4 Response to Menulis, Terus Menulis

6/04/2009 6:54 PM

Tahniah, artikel yang menarik.

Tapi seorang penulis juga perlu digerakkan dengan noktah bidayah yang benar dan matlamat yang jelas.

Perlu juga berhati-hati dengan duri-duri di sepanjang jalan.

Tulisan untuk ummah.

Setiap huruf mesti ada sumbangan.

Perlu tanam perkara itu dalam perhatian.

Sama-sama kita takmil wa istikmal nu'man.

Teruskan melayah idea, moga nanti terlakar impian kita...

~seorang sahabatmu...

Hilal Asyraf

http://langitilahi.com

6/04/2009 10:30 PM

Kerja apapun sandarkannya sebagai amal soleh

menulis mampu merubah dunia biiznillah

tulis dan baca

kedua-duanya perlu

semoga tetap thabat

salam dari barat perlembahan nil.

nia
6/13/2009 11:04 PM

salam. akhi, anta dapat dari sumber mana ust fathi yakan meninggal? maaf, ana bertanya. baru dpt tau.

Anonymous
6/14/2009 9:03 AM

Sila rujuk berita rasmi kematian beliau:

http://www.daawa.net/display/arabic/news/NewsDetails.aspx?ID=4535&tid=3

Terdapat lagi di google news,

Laman web berita Ya Lubnan

Dan juga laman web ikhwan jordan