
"Dan ingat! ... ", Pak Harfan berhenti.
Dia merenung anak-anak Muridnya. Semuanya khusyuk mendengar.
Diam, diam dan diam.
"Hiduplah untuk memberi sebanyak-banyaknya, bukan untuk menerima sebanyak-banyaknya", sambungnya.
Kesepian berterusan.
Laskar Pelangi menjamah hikmah itu benak minda masing-masing.
"Cukup, untuk hari ini, ya?" ujar Par Harfan.
"Alaaa...", keluh anak-anak luar biasa Sekolah Dasar (SD) Muhammadiyyah itu disambut senyum manis Pak Harfan.
Pak Harfan memang pengetua yang cukup berjiwa kebapaan dan mesra pelajar.
LASKAR PELANGI
Beberapa minggu lalu, saya berkesempatan menonton filem Indonesia, Laskar Pelangi arahan Riri Riza. Filem yang amat menakjubkan ini diadaptasi dari novel Laskar Pelangi, karangan Andrea Hirata yang tercatat sebagai buku sastera Indonesia yang terlaris sepanjang sejarah.
Novel ini dinukil dari kisah benar yang dialami penulis.
Sehingga Mac 2009, filem ini telah ditonton oleh lebih 4.6 juta peminat filem di Indonesia.
Filem ini mengisahkan kehidupan sepuluh orang murid berlatarbelakangkan keluarga miskin yang bersekolah di sekolah Muhammadiyah di Pulau Belitong yang penuh kekurangan dan naif.
Menampilkan sepuluh pelakon-pelakon cilik yang merupakan anak-anak asli Pulau Belitong, Riri Riza berjaya membawa penonton menghayati detik-detik hidup suka dan duka Laskar Pelangi sehingga ke penghujung filem.
MENYOROTI SISTEM PENDIDIKAN KITA
Sistem pendidikan, di Malaysia khususnya amat diambilberat oleh masyarakat hari ini.
Dari isu nasional seperti isu PPSMI, had subjek SPM dan sebagainya hinggalah ke isu-isu seperti penggunaan kapur di kelas amatlah kita titikberatkan.
Biasalah, pendidikan memang tidak dinafikan lagi kepentingannya.
Filem Laskar Pelangi ini berjaya menerbangkan fikiran saya untuk mendalami pendidikan pelajar-pelajar kita hari ini.
Saya tersentuh dengan satu luahan ikhlas Bu Mus, guru wanita yang menjadi guru kesayangan sepuluh murid berjiwa besar ini.
Ketika itu beliau mendengar berita yang Bakri, seorang lagi guru lelaki di sekolah naif itu ingin bertukar lapangan di sekolah lain yang lebih baik keadaannya.
"Bakri ... tugas kita memangnya berat," ujar wanita yang tabah ini.
"Murid kita pun cuma sikit, ... tetapi kita mempunyai kewajiban untuk memberi pendidikan kepada anak-anak yang tidak berkecukupan," ujarnya lagi.
Memang mendalam sifat keprihatinan Bu Mus. Beliau cukup ikhlas mengajar anak-anak muridnya walaupun di suatu peringkat ketika kematian Pak Harfan, beliau tinggal keseorangan mendidik mereka.
Keikhlasan dan tulus budi Bu Mus ini telah berjaya melahirkan pelajar-pelajar yang cukup proaktif dalam kehidupan mereka.

PAK HARFAN
Tugas sebagai mudir (pengetua) di sebuah sekolah agama yang naif tanpa sokongan kewangan yang kukuh memang cukup mencabar.
Walaupun terdapat suara-suara yang mahu dikuburkan terus sahaja sekolah Islam tertua di Pulau Belitung itu, jiwa tuanya tetap tidak mahu mengalah membina jiwa-jiwa perwira dalam kalangan anak-anak muridnya.
Pernah suatu ketika, dia menjawab kehairanan rakannya akan tindakannya mempertahankan sekolah Islam itu,
"Zul...", sambil meletak tukul. Dia sedang memperbaiki bangku sekolah.
"Sekolah ini adalah sekolah di mana pendidikan agama, pendidikan budi pekerti bukan sekadar pelengkap kurikulum. Kecerdasan bukan sekadar nilai-nilai, dari angka-angka itu, bukan!"
"... tapi dari hati, Zul."
Oleh kerana hal itu apabila SD Muhammadiyah dikejutkan dengan kematiannya di pejabat sekolah, Bu Mus memang tidak dapat menerimanya hingga hampir seminggu tidak hadir ke kelas.
Pak Harfan banyak mengingatkan seorang keringat tua yang cukup saya kagumi.
Mudir Ma'had at-Tarbiyah al-Islamiyah (MATRI), Perlis, al-Fadhil Dato' Kaya Bakti Ustaz Dahlan Mohd Zain mencerminkan kerendahan jiwa dalam pendidikan.
Membayangkan kegigihan Ustaz Dahlan memanjat anak-anak tangga ke tinggat empat bangunan sekolah pada usia 70-an untuk memBERI ilmu mencubit hati kecil saya terhadap usaha dakwah yang saya lakukan selama ini.
Mana tidaknya, kita yang baru sedikit berkorban tenaga asyik merengek sini sana, namun mujahid veteran seperti Ustaz Dahlan tidak pernah berputus asa pun mendidik, walaupun sering kali sakit.
PERGURUAN
Melihat keikhlasan guru-guru ini, saya terkedu dengan laporan seorang guru lelaki di Kelantan yang didakwa terlibat dengan pertandingan ratu cantik.
Kes-kes pencabulan pelajar yang dilakukan segelintir guru-guru yang beku mindanya mencampakkan fitnah kepada dunia perguruan.
Seandainya keadaan ini berterusan, apakah yang akan jadi kepada pelajar-pelajar sekolah?
Baru sangat kita dikejutkan dengan laporan berita tentang video seorang pelajar perempuan tingkatan satu dibuli dengan cara yang cukup kejam dan memalukan negara.
LINTANG
Salah seorang anggota Laskar Pelangi ialah Lintang, seorang murid genius yang memenangkan SD Muhammadiyah dalam acara kuiz kecerdasan, sekaligus mengalahkan sekolah-sekolah lain.
Di sebalik susuk tubuh kecil ini, Lintang mempunyai jiwa yang cukup besar. Setiap hari, beliau mengayuh basikal lebih 80 kilometer melintasi buaya-buaya ganas di Pulau Belitung!
Pernah suatu ketika, lewat kematian Pak Harfan, mereka hadir ke sekolah tetapi sayang guru tidak ada. Bu Mus masih dalam tempoh berkabung, semangat belajar rakan-rakannya pula menurun lalu dia menegaskan,
"Kita semua harus punya cita-cita, dan sekolah inilah perjalanan itu kita mulai,"
"Kita harus sekolah," ujarnya lagi.
Lebih mengkagumkan lagi, di waktu ketiadaan guru itu, di mengambilalih tugas guru dengan mengumpulkan seluruh warga kelas dan memegang buku mengajar rakan-rakannya sekaligus menyuntik kembali semangat Laskar Pelangi.
Apa yang memukul saya ialah hakikat yang Lintang terpaksa berhenti sekolah untuk mencari nafkah menyara 13 adik-beradiknya yang lain kerana kematian mengejut ayahnya ketika ke laut.
MATRI, PERLIS
Filem ini kekal sebagai salah satu yang paling berpengaruh dalam hidup saya.
Menyoroti filem ini mengingatkan saya tentang sekolah saya dahulu, kini dan selamanya - Ma'had atTarbiyah al-Islamiyah (MATRI), Tunjung.
Bezanya, tatkala SD Muhammadiyah hanya punya sebuah blok bangunan kecil, lebih kecil dari stor peralatan Universiti Malaya, berbanding MATRI di awal pembangunannya terbina dengan sebuah bangunan yang agak luas berdindingkan papan plywood sahaja.
Bangunan Musolla itu masih berdiri teguh hari ini, walaupun sudah dua dekad dimamah anai-anai.
Namun, kedua-duanya tetap serupa.
Melahirkan anak-anak murid yang berjiwa besar, bakal pemimpin dunia suatu hari nanti.
Saya teringat kisah yang tersimpan kemas di dalam memori saya,
Petang itu ada seorang abang datang kepadanya sambil mengurut-urut belakangnya.
Adik itu berasa serba salah atas kemesraan abang itu, dan berkata,”abang tahu ke ana ada buat salah apa-apa?”
Abang itu tidak tahu menahu tentang kes rokok adik tersebut.
Adik itu kemudiannya menjelaskan, “ana ditangkap hisap rokok”
Serta-merta abg itu sebak dan mengalir air mata sambil mengungkap “Kenapa anta merokok?”, berulang-ulang kali. Kata-kata abang itu tenggelam di dalam tangisannya.
Adik tersebut tersentak dan tersentuh. Mana tidaknya, abang yang empat tahun lebih tua darinya lebih dahulu menangis daripadanya. Padahal mereka tidaklah mesra sangat pun.
Di sini dia sedar akan kasih sayang ukhuwah sesama Muslim dan mula menyesal atas tindak tanduknya itu.
Kemudian mereka berkongsi perasaan, menyelami masalah seolah-olah abg-adik kandung.
Alhamdulillah hari ini, adik itu menjadi senior yang cukup disegani dan proaktif menghadapi hari-hari mendatang dalam hidupnya.
PERTAHANKAN SEKOLAH AGAMA
Di sebalik fenomena sekolah-sekolah agama kian giat ditutup lantaran kesempitan kewangan, harus kita tegar pertahankan sekolah-sekolah ini.
Meskipun, hari ini kita dikecewakan dengan berita akhlak buruk segelintir pelajar-pelajar sekolah agama hari ini - sekolah-sekolah sebeginilah satu-satu harapan kita untuk menyaksikan jiwa-jiwa muda cakna ummah pada masa hadapan.
Cuma, dari segi pendekatan kita memanglah kena pertingkatkan, tetapi itu tidak bermakna kita harus menutup mata tentang merancaknya usaha-usaha menutup sekolah-sekolah agama, madrasah, pondok dan pasentren hari ini.
Imam Hassan al-Banna pernah menyatakan,
"Akan kukumpulkan pemuda-pemuda. Lalu kututupkan tabir di sebalik mereka. Dan akan ku asuh mereka dengan kitabullah dan Sunnah Rasullah S.A.W. Kemudian, akan aku lepaskan mereka kepada masyarakat. Masyarakat tercengang-cengang melihat siapakah mereka. Sahsiah mereka dikagumi masyarakat".
“Lelaki berkualiti seperti unta hanya satu dalyang mampu menanggung beban yang berat untuk perjalanan yang panjang, kamu sukar untuk menemuinya sebagai satu dalam seratus” [Hadith riwayat al-Bukhari]
LITTLE CALIPH @ little-caliph.blogspot.com
50603, Kuala Lumpur


5 Response to Laskar Pelangi: Erti Hidup Pada Memberi
salam wbt
a good review after all...
ignite me to be a good dai'e as well as a good teacher soon.. i'Allah ;D
salam wbt.
setuju dgn sinopsis penulis..ana sndri setelah melihat filem laskar pelangi..sangat2 terkesan.
fikiran terimbas kepada saat2 pembentukan awal madrasah MATRI yg bersejarah..dan jasa para murabbi MATRI yg kita sayangi sangat besar, tak mampu terbalas..
sehinggalah kelansungan tugas ini harus diteruskan pula oleh kita semua as Da'i..
-villa mawaddah-
hi - saya senang membaca tulisan ini. Saya ingin mengunakannya dengan kelas bahasa indonesia saya di Perth (Australia Barat), dan juga ingin memberitahukan guru-guru lain di Perth - boleh?
Makasih!
Danielle
Silakan.
Saya cukup berbesar hati.
saya belum pernah melihat cerita tersebut, tp melalui sipnopsis yg akhi ceritakan, menyentuh hati sy., sy tertarik utk menontn cerita tu.. syukran. semoga perjalanan dlm usaha da'wah mendapat nilai di sisiNYA.. ameen..
Post a Comment